Tabung Luahan Isi Hati

Monday, June 16, 2014

Cerpen: Tiada Lagi Dia


Assalamualaikum!

1- saya tahu saya tak pandai buat cerita sampai orang nangis atau ketawa.

2- Jangan marah kalau cerita ni tak seperti yang diharapkan.

3- Yang mana ada salah mohon jangan segan silu mahu menegur.

4- Selamat membaca : )


....................



Jeritan  seorang gadis muda bergema di rumah separuh siap dan sudah lama ditinggalkan. Kaki tangannya meronta-ronta meminta dilepaskan. Sudah puas dia memekik meminta tolong dan meminta kesian belas namun semuanya hanya sia-sia. Tiada siapa yang dengar. Tiada siapa yang simpati.

Makin kuat dia melawan, makin bernafsu mereka yang melihat sambil terkekeh-kekeh kemenangan. Malah tanpa belas kasihan, empat orang lelaki jahanam itu seronok ‘mengerjakan’ seorang gadis Melayu dengan kasar. Tak cukup dengan itu, mereka bergilir-gilir menyeksa.

Terus terusan menyeksa.

Sadis.

Gadis itu pasrah. Badannya cukup terseksa dengan serangan bertubi-tubi empat jahanam itu. Akhirnya, dia terkulai tidak sedarkan diri dengan penyeksaan itu semua.

Firman Allah Taala yang bermaksud :

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari kedua-duanya 100 kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”. (Surah An- Nur, ayat 2)

……………………

“Anak umi tengok apa?”

Teguran dari uminya membuatkan Izzat mengalihkan pandangan, memandang Puan Ramlah. Izzat tersenyum. Perlahan-lahan kepala digelengkan. Tangan Puan Ramlah digamit sebelum mencium tangannya.

“Macamlah umi tak nampak.” Komen Puan Ramlah.

“Tak sengaja umi.”

Puan Ramlah menepuk bahu Izzat beberapa kali.

“Nama dia Nurul. Nurul Wahida.” Ujar Puan Ramlah seraya dilabuhkan punggung disebelah Izzat.

“Siapa Nurul?”

“Adik kecil molek itu, yang anak umi ralit tengok sampai umi datang tak sedar.”

Izzat tersengih. Nak kata apa lagi, memang dia tidak sengaja untuk merenung lama perempuan bernama Nurul Wahida itu. Dari pagi tadi lagi dia nampak wajah itu di Rumah Annisa’ milik uminya yang menempatkan remaja-remeja perempuan yang tersasar. Tapi wajah itu…. Nurul Wahida, tiba-tiba muncul hari ini. Mungkin penghuni baru.

Apa yang menarik matanya untuk terus melihat adalah wajah sedih yang jelas terpancar di muka Nurul Wahida. Air mata dan Nurul Wahida seolah-olah tidak boleh berpisah. Sentiasa mengalir di pipi yang sedikit tembam itu. Izzat seolah-olah dapat merasa derita itu. Entah kenapa, hadir di lubuk hatinya untuk berkongsi derita yang dialami Nurul Wahida.

“Izzat….” Puan Ramlah menegur apabila mata anaknya masih galak memerhati Nurul Wahida. Kepada digeleng-gelengkan. Naluri ibunya sudah dapat meneka sesuatu. Tak pernah anaknya begini, kebiasaannya Izzat orang yang selalu menjaga pandangan matanya.

Seperti mana Allah Subhaanahu Wata’ala berfirman, bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan." Surah An-Nur 24:30.

“Maaf, umi.” Izzat beristighfar dalam hati. Dia mengalihkan duduknya di hadapan Puan Ramlah, membelakangi tempat duduk Nurul Wahida.

“Kalau Izzat nak tahu, Nurul baru dimasukkan di sini semalam. Kesian dia, Izzat. Baru berumur 20 tahun tapi dia…. Nurul dirogol, diseksa.” Cerita Puan Ramlah.

“Astaghfirullah!”

“Kesian umi melihatnya. Dari semalam, Nurul hanya diam dan menangis. Makan pun sedikit. Itu pun setelah umi pujuk dia. Allah…. Memang sadis cerita Nurul. Dirogol empat lelaki yang tiada perikemanusiaan. Manusia zaman sekarang semakin kejam, Izz…. Ramai insan yang tidak berdosa teraniaya. Allahu Rabbi.”

“Astaghfirullah Al-azim…..” mengucap panjang Izzat mendengar cerita uminya.

Wajarlah, Nurul Wahida kelihatan menderita. Rupa-rupanya ini yang dialaminya. Difikirnya, ingatkan Nurul Wahida sama dengan penghuni lain di Rumah Annisa’, terlanjur dengan pasangan kekasih masing-masing. Malah ada yang hubungan terlarang sedarah. Allahu Rabbi…..

Izzat terkalih ke belakang namun kelibat Nurul Wahida sudah tidak kelihatan. Izzat bersandar di kerusi batu itu, berkalih memandang awan yang indah terbentuk. Tak dapat dielak, fikirannya asyik teringatkan seraup wajah itu. Sempat dia titipkan doa untuk Nurul Wahida supaya terus tabah sebelum kedengaran azan dari surau berdekatan. Izzat bergegas ke surau untuk menunaikan solat Asar.

Dia tidak mahu melengahkan solat kerana Rasulullah SAW bersabda : "Sesiapa yang mengumpulkan dua sembahyang tanpa ada halangan, maka sesungguhnya dia telah memasuki pintu besar dari pintu dosa-dosa besar". Riwayat Al-Hakim.

……………………..

Izzat keluar dari keretanya dan terus menuju ke Rumah Annisa’. Apabila melalui ruang koridor, dia mula pelik kerana tiada sesiapa di situ. Keadaan di situ hanya sunyi sepi tanpa ada penghuni yang lalu. Kepala dijenguk ke taman landskap, juga tiada sesiapa. Pelik! Jam tangan dilihatnya. Baru menunjukkan jam 9 malam. Tak akan semua dah tidur?

Dia mengambil keputusan untuk ke bilik uminya namun baru beberapa langkah, dia terlihat akan salah seorang penghuni di Rumah Annisa’ yang berlari ke arahnya.

“Assalamualaikum, Abang Izzat!!”

“Waalaikumussalam, Nurin. Kenapa lari-lari ni? Kalut semacam jea saya tengok.” Tanya Izzat kepada Nurin.

“Abang Izzat, ada…ada…orang…ngamuk…ada…”Nurin termengah-mengah. Susah dia nak bercakap apabila nafasnya tersekat-sekat.

“Apa dia awak cakap ni? Saya tak faham. Ok-ok. Nurin, tarik nafas dulu.” Nurin mengikuti kata Izzat. Ditarik nafas dalam-dalam beberapa kali sebelum memberitahu berita yang terbantut tadi.

Ada orang mengamuk kat Bilik Dorm Mawar. Dia nak bunuh diri! Cepat Abang Izzat!! Cepat!!”

Izzat terkejut namun apabila melihat Nurin sudah berlari ke arah bilik dorm, dia terus berlari ke sana. Selama ini, tak pernah lagi penghuni di situ ingin bunuh diri. Siapa yang buat onar ini? Izzat tertanya-tanya tapi kakinya semakin dipercepatkan apabila terlihat pekerja-pekerja dan penghuni Rumah Annisa’ berkumpul di hadapan pintu bilik Dorm Mawar apatah lagi dia dapat mendengar pekikan seorang perempuan. Mereka yang berada di situ memberi laluan apabila terlihat akan Izzat.

“Jangan dekat!! Jangan!!”

Izzat tergamam. Terkejut melihat Nurul Wahida yang memegang pisau lipat dan mengacah ke pergelangan tangannya sendiri. Segera Izzat menghampiri Puan Ramlah dan beberapa pekerja Rumah Annisa’ yang sedang menenangkan dan memujuk Nurul Wahida.

“Izzat. Tolong umi, Izzat.” Puan Ramlah sudah mengalirkan air matanya. Hatinya tersentuh melihat Nurul Wahida yang tertekan sampai nekad ingin bunuh diri. Mujur sahaja penghuni bilik Dorm Mawar yang lain ternampak dan segera menghalang serta memberitahunya.

Izzat melangkah ke hadapan Puan Ramlah dan yang lain-lain untuk mendekati Nurul Wahida. “Nurul, jangan macam ni. Bahaya pisau kat tangan tu. Mari bagi kat saya.” Pujuknya sambil terus mendekati Nurul Wahida namun terhenti apabila dirinya pula diugut.

“Jangan dekat!! Selangkah ke depan, aku bunuh kau!” pisau lipat yang tadi berada di lengannya dihala ke arah Izzat.

“Ya Allah… Ingat Tuhan, Nurul! Berdosa Nurul buat macam ni.”

“Aku tak peduli!! Kau dengan lelaki jahanam itu semuanya sama! Kau semua jahanam! Syaitan!! Pergi! Pergi!!” Terundur Izzat ke belakang apabila Nurul Wahida bertindak menghayunkan pisau ke depan.

“Aku tak nak hidup. Aku nak mati!! Hidup aku jahanam sebab kamu semua. Aku nak mati!” bagaikan orang gila Nurul Wahida berteriak dan pisau di bawa semula ke pergelangan tangannya.

Apabila terlihat akan tindakan drastik Nurul Wahida, Izzat nekad menerpa ke arah Nurul Wahida dan merampas pisau lipat itu. Mereka bergelut. Muka Izzat berkali-kali dicakar dan ditampar namun tangannya kemas memegang tangan kanan Nurul Wahida yang memegang pisau sehingga tangannya terluka.

Puan Ramlah dan mereka yang lain turut membantu apabila Izzat berjaya merampas pisau lipat itu. Izzat menyuruh Nurin untuk mendapatkannya segelas air dan segera dituruti Nurin. Apabila segelas air sudah berada di tangannya Izzat membaca beberapa ayat suci al-Quran untuk menangkan Nurul Wahida. Segera dihulur kepada uminya untuk diraup ke muka dan diminum Nurul Wahida.

Nihela nafas lega apabila melihat Nurul Wahida sudah beransur tenang. Izzat keluar dari Dorm Mawar sambil menunggu Puan Ramlah keluar. Sempat dibasuh mukanya di paip air yang berada di luar dorm.

“Macam mana boleh jadi macam ni, umi?” tanya Izzat sejurus Puan Ramlah keluar dari dorm.

“Umi tak tahu, Izz…. Sedih umi tengok Nurul. Allah…”

Melihat akan Puan Ramlah menangis, Izzat memeluk uminya. Izzat tidak sangka begitu nekad sekalinya Nurul Wahida sampai sanggup cuba nak bunuh diri. Tidak dapat dia bayangka jika itu benar-benar terjadi. Izzat tergeleng-geleng kepala. Entah kenapa hatinya tidak sanggup untuk melihat lagi derita Nurul Wahida yang ditanggung seorang diri. Cintakah? Atau hanya dasar belas kasihan sesama Islam? Izzat tidak tahu tapi hanya doa yang boleh di sampaikan.

Ya Allah, kau lindungilah hamba-Mu yang bernama Nurul Wahida. Kau kuatkanlah hatinya dalam menempuh ujian-Mu ini.

………………….

LIMA BULAN BERLALU.……

“Bang, nak saya tolong?” sapa Izzat kepada Abang Man yang bekerja sebagai tukang kebun.

“Haa, kamu Izzat. Boleh juga kamu nak tolong.”

Cangkul tanah diambil dan segera Izzat membantu Abang man. Hari ini, Abang Man mahu menambahkan lagi lanskap taman bunga. Dia dan Puan Ramlah hanya mengikut apa sahaja cadangan Abang Man jika ianya baik untuk persekitaran dan udara yang nyaman.

Sedang asyik mencangkul, Izzat terpandang Nurul Wahida yang tunduk merenung ke dalam kolam ikan. Sempat juga matanya menangkap perubahan ketara pada Nurul Wahida sebelum menyambung semula kerjanya. Masakan dia tidak perasaan apabila Nurul Wahida semakin kurus, pipinya cengkung jelas kelihatan.

Teringatkan selama lima bulan Nurul Wahida berada di Rumah Annisa’, Nurul Wahida sering kali demam mengejut, batuk berterusan dan lelah setiap masa. Bukan itu sahaja, sakit kepala dan mual setiap kali makan pun turut dialami Nurul Wahida. Semuanya diberitahu oleh uminya. Berkali-kali diajak dan dipujuk Puan Ramlah untuk buat pemeriksaan di hospital tapi setiap kali itu juga ditolak Nurul Wahida. Apatah lagi kalau Izzat memujuk, memang tidak akan dilayan.

“Nurul!!!”

Bunyi jeritan ramai itu mengejutkan Izzat. Pantas sahaja dia berpaling dan berlari mendapatkan Nurul Wahida yang sudah jatuh terkulai. Disuruh penghuni-penghuni Rumah Annisa’ untuk memapah Nurul Wahida ke keretanya. Nurul Wahida perlu segera di bawa ke hospital. Walaupun perkara ini sudah biasa berlaku sejak 5 bulan yang lalu, tapi kalau sudah asyik sakit dan ada perubahan ketara pada tuan punya badan, jangan sesekali diambil mudah. Dia tidak mahu lagi mengikut kepala Nurul Wahida yang degil ke hospital.

……………………

Di ruang koridor hospital, sudah hampir setengah jam Izzat duduk bersandar di atas kerusi yang disediakan. Entah bagaimana hendak gambarkan perasaannya sekarang ini. Sedih, kecewa dan kasihan? Semuanya bercampur aduk. Masih terngian-ngian lagi di telinganya setiap patah perkataan yang keluar dari mulut doktor yang merawat Nurul Wahida.

“Maaf saya katakan tapi ianya positif. Setelah beberapa kali kami buat ujian darah Nurul dan memang ternyata……. Nurul positif HIV. Tanda-tanda yang kita dapat tengok pun jelas ada pada Nurul.”

Pengesahan dari doktor itu memang buatkan dia terkedu. Tak dapat dia jangka kan riaksi Nurul Wahida apabila dapat tahu semua ini. Ya Allah…. Begitu berat sekali dugaan terhadap Nurul Wahida. Seorang perempuan yang teraniaya oleh syaitan bertopengkan manusia. Sudahnya Nurul Wahida masih tertekan dan trauman dengan kes rogol dan seksa itu. Inikan pula mahu menghabiskan sisa-sisa hidup bertemankan virus yang satu itu? Virus HIV yang paling ditakuti dan kadar peratus untuk meneruskan hidup sangat tipis. Allahu Rabbi…..

Izzat merenung muka pintu wad yang menempatkan Nurul Wahida. Sungguh dia tidak berani untuk memberitahu berita ini semua kepada Nurul Wahida jadi dia hanya mengharapkan Puan Ramlah yang khabarkan. Walaupun umi menangis teresak-esak ketika pengesahan Nurul Wahida sebagai pesakit AIDS, tapi uminya sendiri yang tawarkan diri untuk menguruskan semua ini.

Tidak betah di situ, perlahan-lahan Izzat bangkit mendekati pintu wad. Baru tangannya menolak sedikit pintu kedengaran tangisan Nurul Wahida.

“Apa salah Nurul umi? Kenapa penyakit kotor ini ada pada Nurul? Umi, tolonglah…. Tolong cakap semua ini bohong. Tolong, umi. Tolong Nurul. Nurul tak nak. Ya Allah! Ya Allah!!”

Izzat tahan nafas sesaat. Tanpa sedar matanya turut bergenang air mata. Fikirnya, Nurul Wahida akan meraung dan bertindak agresif seperti dahulu tapi kini yang didengarinya dan dilihatnya adalah sebaliknya walaupun Nurul Wahida masih merintih dan menangis.

Diambil langkah untuk meninggalkan wad itu. Sekarang ini yang dia termampu hanya bersujud dan mendoakan untuk Nurul Wahida. Tapi dia akan pastikan selepas ini Nurul Wahida akan berkongsi derita itu dengannya.

………………………..

“Umi benarkan?”

Wajah Puan Ramlah dipandang penuh harapan. Walaupun mungkin dia dikatakan gila, tapi dia ikhlas. Dia betul-betul yakin dengan keputusan yang diambil. Solat istikharah sudah dibuat sejak sebulan yang lalu dan hatinya kuat untuk membuat pilihan yang tepat. Sekarang ini, hanya restu dari ibunya sahaja yang ditunggu-tunggu.

Puan Ramlah diam tak terkata. Kalau itu yang Izzat pilih, dia pun suka. Tapi ada yang menjadi penghalang dalam fikirannya. Yang itu susah untuknya bersetuju. Kalau benar terjadi, bagaimana dengan Izzat? Tidak kah anaknya itu terfikir tentang yang satu itu?

“Umi bukan tak setuju. Tapi… Nurul tu… Izzat faham kan?”

Izzat menarik nafas dalam-dalam. Sudah diagak memang itu yang ada dalam fikiran Puan Ramlah. Tapi bagi Izzat biarlah itu menjadi urusannya dengan Allah. Yang lebih penting baginya, dia mahu menjaga Nurul Wahida yang sudah semakin teruk keadaannya. Perkara ini telah pun diberitahu kepada Nurul Wahida seminggu yang lalu sebelum Nurul Wahida dimasukkan ke hospital. Walaupun wanita itu berkali-kali keras menolak dan mengatanya gila, tapi syukur lama-lama pujukannya berjaya meraih persetujuan Nurul Wahida.

“Izz faham dan Izz tahu kalau dah nikah kemungkinan besar Izz sendiri terdedah pada virus HIV. Tapi Izz harap umi faham. Izz nak jaga Nurul, umi. Tentang yang lain, jangan umi risau. Izzat sayang dia umi…. Izzat sayang Nurul Wahida.” Luah Izzat akhirnya. Dipandang mata Puan Ramlah yang berkaca-kaca dengan penuh harapan. Lama menanti dan sudahnya Puan Ramlah menjatuhkan kepalanya beberapa kali.

“Nikah lah, nak. Umi restukan perkahwinan Izzat dengan Nurul.”

………………………..

Akad nikah yang patut berlangsung bulan hapadan dipercepatkan gara-gara Nurul Wahida dimasukkan ke hospital semula. Kali ini keadaannya sangat teruk membuatkan Izzat mengambil keputusan untuk bernikah pada hari itu juga di hospital. Tiada pakaian pengantin, tiada juru kamera dan tiada sebarang majlis. Dirinya hanya berpakaian baju melayu putih dan Nurul Wahida hanya memakai kain telekung yang dihadiahkan oleh Puan Ramlah.

Izzat memegang tangan tok kadi dengan kemas. Jujur katakan, hatinya berdebar-debar. Sesekali dikerling juga ke arah Nurul Wahida bersandar di kepala katil dengan pandangan yang sayu.

“Izzat, dah sedia?” tanya Ustaz Bukhairi selaku tok kadi.

Dipandang dahulu wajah uminya dan beberapa kawan baiknya sebagai saksi akad nikah sebentar lagi. Nafas dihela lalu kepala diangguk.

“Saya sedia.”

“Mohd Izzat bin Hafezz. Aku nikahkan dikau dengan Nurul Wahida binti Luqman dengan mas kahwinnya…..”

“Izzat, Nurul! Nurul!!”

Terkejut dengan suara Puan Ramlah, Izzat lekas lepaskan tangan Ustaz Bukhairi dan berdiri mendekati Nurul Wahida.  Ustaz Bukhairi dan teman-temannya yang lain turut bangun.

“Izz, Nurul... Izz… Nurul….” Puan Ramlah memeluk badan Nurul Wahida.

Izzat terkaku melihat mata Nurul Wahida tertutup rapat walaupun sudah berkali-kali digerak Puan Ramlah.  Tahulah dia…. Nurul Wahida kini sudah pergi untuk selamanya. Tanpa segan silu air mata lelakinya jatuh berderai ke pipi. Terasa bahu dipegang Ustaz Bukhairi dan rakan-rakan. Dan Izzat hanya mampu memandang wajah Nurul Wahida yang sudah kaku dalam pelukan puan Ramlah.

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetap menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).”- surah Al-Jumu’ah: 8

.............TAMAT...........

Terima kasih sudi membaca.
Janganlah segan silu tinggalkan komen.
:)

MuchLove,
AinaaAzlan